05 Januari 2010

USM FC terima sumbangan RM200K

PULAU PINANG, 5 Jan – Pasukan bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM FC) yang menunjukkan prestasi cemerlang mara ke TM Liga Perdana musim ini menerima sumbangan khas berjumlah RM200,000 daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (R&I) USM, di sini semalam.

foto: Barisan pemain pasukan USM FC meletakkan sasaran untuk memberikan persembahan mantap pada tahun ini dan terus mara dalam kancah bola sepak negara
Keterangan foto: Barisan pemain pasukan USM FC meletakkan sasaran untuk memberikan persembahan mantap pada tahun ini dan terus mara dalam kancah bola sepak negara.
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa


Sumbangan tersebut bertujuan membiayai program latihan prestasi bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap dan berbeza daripada mana-mana pasukan lain dalam kancah bola sepak negara.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Asma Ismail berkata, penampilan USM FC dalam liga adalah sesuatu yang unik kerana ia adalah yang pertama dan satu-satunya pasukan dari universiti.

Justeru ujarnya, USM FC harus tampil dengan kelainan bagi mencorak fenomena baru dalam persaingan sukan nombor satu dunia itu, selaras dengan moto universiti iaitu Kami Memimpin.

``Kita perlu tunjukkan penglibatan kita bukan sekadar untuk memeriahkan kancah bola sepak negara, sebaliknya boleh dijadikan contoh kepada pasukan-pasukan lain khasnya dari segi pengurusan dan penjenamaan pasukan,’’ jelasnya.

Katanya, USM mempunyai pelbagai kepakaran khsususnya dalam bidang sains sukan dan sains sukan perubatan yang membolehkan USM FC bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang dicapai di USM.

``Kita merupakan antara universiti penyelidikan di negara ini dan sudah semestinya banyak pencapaian telah diperoleh dalam bidang-bidang berkenaan yang boleh diaplikasikan terhadap membangunkan tahap prestasi pasukan.

``Kita akan mengatur banyak program bagi meningkatkan mutu persembahan permainan mereka termasuk dalam aspek penjagaan makanan, latihan prestasi, bimbingan kecergasan fizikal dan mental, motivasi dan sebagainya,’’ ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, USM FC yang akan mula beraksi pada 11 Januari depan turut mendapat sokongan padu dari pemimpin nombor satu universiti iaitu Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Dzulkifli berkata, kejayaan USM FC dalam melakar sejarah universiti khususnya bagi bidang sukan amat dihargai dan pihak universiti sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk mereka terus mara ke peringkat seterusnya pada masa depan.

Katanya, USM Fc yang membawa nama universiti diharap dapat mempersembahkan mutu permainan terbaik di samping menunjukkan sikap lebih baik termasuk dari aspek kawalan emosi dan tatatertib.

``Sebagai sebuah universiti kita perlu tonjolkan sifat-sifat terbaik dalam bermain dan jangan sesekali amalkan budaya negatif seperti pergaduhan, perlanggaran disiplin dan sebagainya.

``Kita juga mesti menerapkan budaya berbeza apatah lagi USM turut diberi peluang beraksi di gelanggang sendiri dalam kampus,’’ jelas beliau dalam sidang media selepas majlis penyerahan bendera USM kepada pasukan USM FC di sini hari ini.

Tiada ulasan: